Skip to content →

Jumpa lagi Ayah…

Hari Khamis itu sama macam hari lain. Pergi kerja, balik kerja, makan malam dengan isteri aku, bermalasan rehatan. Mesej masuk dari adik aku bagitahu yang ayah jatuh pitam. Okay cuma pitam, tiada apa sangat mungkin. Dapat lagi mesej bagitahu yang ayah kritikal dan masuk ke hospital. Tak senang duduk jadinya aku, terus aku telefon ibu tanya apa jadinya. Stroke katanya dan batuk berdarah dan tidak sedarkan diri terus. Macam-macam dalam fikiran aku sekarang, memang tak tenang. Dan dapat lagi mesej bagitahu ayah perlu dibawa ke Hospital Temerloh kerana sudah kritakal dan Hospital Raub tidak boleh buat apa-apa. Terus aku berkemas dan gerak terus ke Temerloh. Isteri aku tinggal kerana ada urusan perlu dilakukannya. Walaupun aku mahu dia ikut, tapi tak mengapa mungkin tiada yang serius jadi pada ayah, aku cuba menenangkan diri sendiri.
Aku tiba di Hospital Temerloh dalam jam 2 pagi, aku yang pertama tiba dan pak cik, pak anjang dan wan seterusnya. Sejam selapas tu ibu dan adik beradik aku tiba. Ayah dimasukkan ke wad kecemasan. Sedih, luluh hati ini tengok ayah terbaring dan tak sedarkan diri, bernafas hanya dengan bantuan mesin oksigen. Tak sanggup aku nak melihat lama-lama. Baru saja 3 hari lepas aku melihat ayah jalan-jalan senyum dan ketawa, macam tidak percaya ini semua terjadi. Doktor kata ayah kena stroke dan ada pendarahan dalam otaknya. Tiada apa yang doktor boleh lakukan, ayah sekarang hanya bergantung pada mesin oksigen, peluang untuk dia pulih sangat tipis. Keputusan semua berada ditangan kami sekeluarga, antara tanggalkan mesin oksigen atau tunggu sehingga ada keajaiban. Kami buat keputusan untuk tidak tanggalkan lagi hingga hari sabtu, peluang untuk saudara mara datang melihat ayah untuk kali terakhir, sebenarnya jauh di sudut hati kami semua masih berharap yang ayah akan bangun semula, itu tujuan kami tidak tanggalkan lagi. Isteri aku datang pada hari Jumaat, meninggalkan semua kerjanya. Terima kasih, aku sangat memerlukan dia waktu itu.
Ibu sentiasa di sisi ayah sepanjang masa, sedih melihat ibu begitu. Dengan tidak makan dan minum, hanya tunggu dan melihat ayah berharap dia akan sedar semula. Sabtu tiba dan keadaan ayah makin teruk, organ-organ dalam badannya sudah mula tidak berfungsi. Hakikatnya ayah memang sudah tiada sejak Khamis itu lagi, otaknya sudah tidak berfungsi, hanya organ-organya saja. Bantuan mesin oksigen itulah yang menjalankan organ-organ badannya.

Ayah pergi pada hari Sabtu jam 12.48 tengah hari, sejam selepas mesin oksigen ayah ditanggal. Ayah dikebumikan di kampungnya di Pamah Kulat.

Jumpa lagi ayah, saya doakan semoga ayah baik-baik di sana…

Al – Fatihah.

Published in Uncategorized

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *